Sunday 20 February 2022

Seram Bab 16 Lorong Tikus

CERITA PERTAMA

Cerita ini bermula pada era 90an di Kuala Lumpur,Berek Polis Jalan Aman di kawasan Jalan Tun Razak yang dikelilingi oleh pelbagai bangunan kedutaan pelbagai negara di ibukota Kuala Lumpur.Lokasi berhampiran dengan Balai Polis Jalan Tun Razak,Hankyu Jaya(sudah tiada) dan ikon terkenal dahulu bangunan Ampang Park (kini bangunan Ampang Park sudah tiada lagi).Ketika itu pembangunan di situ rancak diadakan di sekitar Kuala Lumpur.Berek yang diduduki kami ketika itu masih ada.Kini sudah tiada kerana sudah dirobohkan kerana kerajaan ingin membina laluan transit aliran ringan Star LRT(kini adalah Rapid KL).Kawasan blok berek polis kami adalah betul-betul berada di tengah laluan Ampang yang merupakan laluan LRT atas jambatan menuju ke bawah tanah.Kini blok berek kami sudah tiada tapi blok berek lain masih ada sehingga kini.Kami berpindah ke perumahan Polis di AU3 Keramat,Ulu Kelang.Jadi saya ingin menceritakan satu kisah benar yang seram telah terjadi sebelum kami terpaksa berpindah ke perumahan lain,pelbagai kenangan lama di situ sudah tiada sejak blok kami kini sudah dorobohkan untuk pembangunan.Tadi adalah selingan sedikit sejarah.

Blok kami betul-betul menghadap ke Sungai Kelang dari hadapan blok kami.Kelihatan sungai coklat seperti seakan-akan warna teh tarik.Ada sebuah jambatan yang dibina di situ untuk memudahkan penduduk menyeberang ke seberang sungai untuk ke kedai,sekolah,bekerja atau sebagainya.Dari seberang boleh dilihat sebuah stesen minyak dari jauh.Jika malam pasti kelihatan lampu stesen minyak dari jauh serta jalanraya.Tetapi seberang sungai itu dipenuhi tumbuhan-tumbuhan dan kebun-kebun.Dan ada juga laluan tikus atau jalan pintas untuk menuju ke arah perumahan lot banglo yang didiami oleh orang-orang yang agak berada berhampiran.Laluan tikus ini digunakan oleh orang awam dan penduduk berek polis.Jika waktu malam,laluan ini agak gelap tapi masih ada cahaya kelihatan.Jika pagar belakang ditutup,ada laluan tikus menuju ke pagar yang berlubang yang dilalui oleh penduduk.Laluan ini rahsia dan hanya diketahui oleh beberapa orang.Melalui kebun pisang,semak samun dan pohon kekabu seterusnya lubang pada pagar.Ia adalah laluan rahsia dan saya sering gunakan laluan ini masa kecil jika balik dari sekolah.Jadi jika bergerak dari rumah,hendak menuju ke jambatan itu selepas melepasi pagar belakang kawasan perumahan polis pasti ada 2 jalan.Jalan pintas menuju ke kiri dan menuju jambatan kayu.Jambatan kayu ini agak kukuh sebab binaan dari besi dan kayu.Jika hujan,paras sungai akan naik,dan tidak digalakkan menyeberang jambatan kerana kayunya agak berlumut dan ada papan yang berlubang dan ada papan yang hilang.Pasti berbahaya kepada pejalan kaki jika tidak berhati-hati.

Pada satu malam yang gelap,Zamu (bukan nama sebenar) berjalan pulang dari kedai selepas pulang berjalan kaki dari makan roti canai kari kepala ikan dari kawasan Pasar Dato ' Keramat.Zamu menyelusuri jambatan itu dengan hati-hati.Sepanjang perjalanan itu,Zamu menyalakan pemetik api sambil menyalakan sebatang rokok dan menyuluh sekejap sambil berjalan di atas jambatan itu.Arus sungai itu kelihatan perlahan seperti biasa kerana cuaca hari itu baik dan tiada hujan.Jarak hujung jambatan ke jambatan hampir 50 meter.Sedang Zamu menghampiri penghujung.Kedengaran sesuatu yang seperti daun lalang bergersik di hujung dan bergerak-gerak.

Zupppppp!!!

Seperti ada sesuatu yang melintasi jambatan tadi.Tapi masih tidak nampak kerana cahaya agak samar-samar malam itu.Zamu cuba melangkah ke hadapan untuk memastikan apakah itu.Hendak tak nak dia perlu melangkah kerana ingin pulang ke rumah atau berpatah balik tapi hendak ke mana malam-malam ini.Jadi dia perlu berani jika ingin pulang.Malam semakin dingin.

Sedang dia melangkah untuk melihat dan melangkah.Dia ternampak sesuatu.Apakah itu?

Zamu menyalakan pemetik apinya dan menghala ke arah sesuatu di dalam semak itu.Penampakan sesuatu badan yang kecil di celah semak itu.Bermata merah dan lembaga itu mula mencebik dan menyeringai sambil bergoyang-goyang sambil menyergah.

Hehhhhhhh!!!

Lembaga itu menyeringai dan menjerit kepada Zamu.Zamu terkejut dan membalas perkara sama kepada lembaga itu tapi dengan nada sergah yang lebih kuat.

Hehhhhhh!!!

Lembaga itu terkejut dengan aksi Zamu dan berlari terus ke arah laluan tikus tadi meredah lalang dan semak samun yang tinggi itu.Zamu hanya terkejut dan tercampak batang rokoknya ke semak dan terpinga-pinga dengan lembaga berupa budak yang agak menyeramkan itu.Kemudian keesokan paginya,ada satu laporan polis dibuat tentang kes kehilangan wang di lot banglo mewah yang terletak berdekatan dengan laluan tikus itu.Yang menjadi misteri tiada jejak pencerobohan atau jejak pencuri,kes menjadi misteri.Jadi apakah kaitan pertemuan Zamu dengan makhluk "toyol" itu dengan kes kehilangan wang yang agak besar adalah agak misteri.Ini satu kisah pertama.


CERITA KEDUA

Kisah kedua adalah begini.Ruty (bukan nama sebenar) bekerja dengan sesuatu jabatan kerajaan di Zon Perindustrian Hulu Kelang yang disitu terdapat banyak kilang-kilang pemprosesan barang-barang elektrik dan elektronik.Jadi Ruty akan menaiki bas yang ketika itu adalah bas Sri Jaya atau bas pendek dipanggil Bas Mini untuk pergi dan pulang kerja sebelum adanya perkhidmatan bas Intrakota yang muncul menggantikan perkhidmatan lama bas Sri Jaya atau Bas Mini pada tahun mendatang.Ruty pulang kerja pada malam itu.Cuaca agak baik.Walaupun gelap,Ruty perlu berani meredah gelap.Tapi kali ini pagar belakang sudah tutup,tapi masih ada laluan tikus.Hendak tak nak Ruty perlu meredah laluan tikus itu.Sedang Ruty berjalan meredah kebun pisang di situ.Ruty merasakan seolah-olah ada sesuatu yang memerhatikannya dari arah pokok pisang itu.Telahan Ruty adalah benar.Kelihatan sesuatu yang sedang berdiri tegak.Berbalut dengan kain putih seperti kain kafan.

Ya,Allah!!!

Ruty terkejut.Dia berada dalam dilema untuk meredah laluan itu.Kali ini memang betul-betul dilema.Ruty menutup mata dan mula membaca surah-surah Al-Quran yang dihafal.Tiada cara lain dan perlu meredah tidak kira apa halangan dan perlu kuat semangat.Tapi dari mana datang keberanian,Ruty berlari meredah juga laluan itu tanpa melihat ke arah lembaga itu dan akhirnya sampai meredah laluan tikus itu dan sampai ke perkarangan pagar berek itu.Itulah pengalaman kedua yang dialami oleh penduduk di situ.Laluan tikus itu juga terdapat satu pokok kekabu yang besar.Ada tali terjurai-jurai ke bawah dan ada yang pernah nampak ada sesuatu yang bertenggek di pokok itu pada waktu malam.


CERITA KETIGA

Cerita ketiga adalah berlaku pada Raif yang ketika itu masih bersekolah rendah.Pada malam hari,dia ingin membuang air besar tapi dia ternampak penampakan sesuatu lembaga hitam bermata merah di dalam jamban belakang.Dia menjerit dan pengsan.Kemudian keesokan hari baru diceritakan apa yang dia nampak pada kami.Itu adalah pengalaman yang seram.Kini blok itu sudah tiada lagi.Tapi adakah misteri itu sudah hilang ditelan pembangunan atau masih lagi ada misteri lain.Cuma bertukar bentuk kepada cerita yang lain.Menjadi laluan kepada LRT dan terowong bawah tanah.Cerita ini tetap menjadi kenangan yang menyeramkan di sepanjang menetap di Berek Polis Jalan Aman,Kuala Lumpur.Sekian.

-Cerita Tamat-

Nukilan hasil SpartaBatKing.