Sunday 10 November 2019

Kronologi Empayar Suria

                      Empayar Suria
                        Sistem Suria


Sektor:Planet Tera
Lokasi:Sistem Suria/Pusat Empayar Suria (Abad ke-5 Kosmik)

Bumi atau Planet Tera adalah pusat untuk pengumpulan sumber-sumber bahan mentah dari koloni-koloni pada waktu sebelum penubuhan Empayar Suria.Planet Tera menjadi pusat perdagangan,pusat pemerintahan melalui pentadbiran tentera serta membekalkan peralatan untuk membina koloni-koloni baru,alat perubatan,teknologi,komunikasi teknologi baru dan membekalkan bahan keperluan di koloni-koloni.Ia dipenuhi dengan pelbagai industri-industri mega dan korporat.Dahulunya disebabkan populasi manusia hampir mencapai 50 bilion penduduk,mereka telah menjalankan program pemindahan ke angkasa untuk mengurangkan populasi penduduk yang ketika itu dilanda pelbagai masalah pentadbiran,politik,geografi,iklim,masalah kekurangan makanan,penyakit,pencemaran alam,kekurangan sumber air bersih,kadar jenayah dan penyakit wabak yang berleluasa akibat populasi yang padat.Kerajaan gabungan di bawah panji Persekutuan Negara-Negara Bersatu memulakan pemindahan penduduk ke luar angkasa dan membins koloni-koloni di luar angkasa.Program ini diperhebatkan dengan kepesatan kemajuan teknologi tinggi angkasa lepas.

Selepas pembinaan koloni pertama di Bulan pada 2050 Masihi,kalendar Masihi ditukar kepada kalendar Kosmik sempena nama program itu untuk kebaikan penduduk global dan koloni pertama itu.Kemudian manusia mampu menjelajah ke tempat-tempat baru,begitu juga dengan populasi.Pada Abad Keemasan Eksplorasi Manusia,manusia telah tersebar ke serata sistem di Galaksi Bima Sakti dan membina penempatan sendiri.Pada abad ke-5 Kosmik,berlaku beberapa perang di pelbagai sistem dan koloni-koloni sekitarnya.Akhirnya Persekutuan Negara-Negara Bersatu yang dipimpin Pengerusi Persekutuan Negara-Negara Bersatu iaitu Pengerusi Carius menjadi Pemimpin Planet Tera yang kemudian menjadi Maharaja Pertama Empayar Suria dan merupakan pengasas empayar itu.Penubuhan empayar ditentang hebat oleh beberapa pemberontak tapi pemberontakan itu berjaya dipatahkan.Beliau membangunkan pelbagai kemajuan antaranya teknologi kapal angkasa,membina pelbagai teknologi dengan tertubuhnya Pusat Sains Galaksi yang kemudian menjadi Ibu Pejabat Teknologi Tentera Empayar Suria.


Sektor:Koloni Bulan
Lokasi:Sistem Suria

Koloni Bulan adalah koloni pertama manusia pada penerokaan pertama manusia di luar Bumi dan menjadi tempat sejarah dan dihormati.Kini ia telah menjadi bulan yang maju,mempunyai penempatan berteknologi tinggi dan merupakan pelabuhan utama kemasukan barang-barang dari sekitar sektor yang menjalankan perdagangan dan bekalan mentah dari pelbagai tempat ke Planet Tera dan merupakan pintu utama ke Planet Tera.Di Bulan juga,Makmal Hidupan telah membangunkan satu teknologi untuk menghasilkan Atmosfera Buatan dengan terciptanya Generator Atmosfera untuk memudahkan manusia bernafas dan hidup di planet-planet lain.Teknologi ini disebarkan ke planet-planet lain untuk diteroka dan menjalani kehidupan.Syarikat U.K.E.G dan Direktorat Peneroka telah membawa teknologi ini dan membina Generator Atmosfera di pelbagai sistem-sistem yang diterokai.Bulan menjadi maju dengan terbinanya pelabuhan angkasa yang pertama yang menjadi pelabuhan yang maju.Penduduk Bulan bertambah populasinya dan kebanyakan mereka menjadi kaya-raya hasil perdagangan dan perlombongan.Banyak bandar-bandar dibina di bawah permukaan dan di kawah-kawah yang terdapat di permukaan Bulan.Setiap tahun,penduduk Bulan akan meraikan sesuatu pesta yang dipanggil Pesta Bulan.Pesta Bulan disambut dengan meriah sekali.Makmal Hidupan juga telah mengkaji beribu-ribu jenis tumbuhan yang terdapat di Planet Tera untuk disesuaikan dengan iklim dan cuaca setiap planet-planet di pelbagai sistem yang diterokai.Selepas itu Makmal Hidupan ditukar nama menjadi Makmal Diraja Empayar ketika pemerintahan Empayar Suria ketika abad ke-5 Kosmik.


Sektor:Planet Marikh
Lokasi:Sistem Suria

Planet Marikh merupakan planet kedua yang diterokai di Sistem Suria.Ia adalah salah satu planet di dalam Empayar Suria dan merupakan planet kedua terpenting bagi Empayar Suria sehingga ia digelar Planet Merah.Keadaan planet itu yang mempunyai angin yang kuat dan dipenuhi pasir-pasir debu seperti padang pasir.Planet Merah mempunyai beratus-ratus bandar dan penempatan berteknologi tinggi dan mempunyai dua bulan dinamakan Prima (asal bulan Phobos) dan Sekunderia (asal bulan Deimos) oleh Empayar Suria.Planet Merah merupakan pengkalan dan pelabuhan tentera terbesar Armada Empayar Suria.Era pemberontakan pernah berlaku dimana Persekutuan Koloni Tera dahulunya wakil kepada Persekutuan Negara-Negara Bersatu yang memerintah koloni-koloni di Planet Marikh telah memberontak kerana pihak Persekutuan Negara-Negara Bersatu telah campur tangan dan berlaku perang saudara dimana Persekutuan Koloni Tera kalah dan berundur ke tempat lain.Penduduk disini terdiri daripada golongan yang kaya dan mewah hasil dari kegiatan perlombongan,pertanian dan perdagangan.Penduduk di sini sering berhadapan dengan ribut dan taufan yang melanda planet itu.Ramai tentera dan pegawai Empayar Suria diambil dari planet ini kerana mereka mempunyai semangat yang tinggi,lasak dan ketahanan yang tinggi bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.Ramai pahlawan dan tentera dilatih di planet ini dan sebuah Akademi Tentera di dalam Empayar Suria yang terkenal iaitu Akademi Tentera Merah sempena nama planet itu.

Sektor:Planet Musytari
Lokasi:Sistem Suria

Planet Musytari adalah permata bagi Empayar Suria kerana ia membekalkan bahan api dari gas untuk kapal-kapal pengangkut,kapal dagang,kapal perang dan angkasa yang lain serta keperluan industri-industri di sekitar Sistem Suria dan luar Sistem Suria.Planet itu dipenuhi oleh gas-gas hidrogen dan helium.Banyak industri mega dan lombong-lombong gas dan kimia,penempatan berteknologi tinggi,satelit angkasa di orbit sekitar dan pelabuhan-pelabuhan angkasa dibina oleh pelbagai syarikat perlombongan gas.Dua syarikat yang terbesar adalah Direktorat Peneroka (kini Direktorat Galaksi) dan U.K.E.G,kedua-dua syarikat ini bersaing dan kedua syarikat ini terbabit dalam Perang Saudara ketika abad ke-4 Kosmik antara Persekutuan Koloni Tera dengan Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika era pemberontakan.Selepas itu kedua syarikat ini memindahkan operasi dan pengkalan ke tempat lain di Galaksi Bima Sakti tetapi masih meninggalkan beberapa markas di beberapa bulan di Planet Musytari kerana Planet Musytari mempunyai 16 bulan  yang dianggap aset penting seperti pelabuhan angkasa dan penempatan.Penduduk Musytari menetap di penempatan dalam kubah-kubah khas berteknologi tinggi dibina di sekitar permukaan Planet Musytari.Penduduk di sini hidup mewah kerana industri-industri mega perlombongan gas yang melimpahi ekonomi di situ.Plane Musytari ketika abad ke-5 Kosmik kini di bawah Empayar Suria dan dikawal ketat oleh tadbiran Raja Muda Zairex.

Sektor:Planet Zuhal
Lokasi:Sistem Suria

Planet Zuhal merupakan planet kedua terbesar selepas Planet Musytari di Sistem Suria dan merupakan kawasan perlombongan gas kedua yang terpenting iaitu Hidrogen dan Helium yang banyak di Planet Zuhal.Pertikaian dan konflik di antara dua syarikat gergasi Direktorar Pelombong dengan U.K.E.G telah menarik Persekutuan Koloni Tera untuk mencampuri konflik itu tetapi ketibaan armada tentera Persekutuan Negara-Negara Bersatu menyebabkan konflik kian meruncing.Tentera Persekutuan Koloni Tera menentang Tentera Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu melalui perang proksi diantara Direktorat Pelombong dengan U.K.E.G.Melalui beberapa pertempuran dan akhirnya Persekutuan Koloni Tera telah mengundurkan diri setelah kekalahan di Planet Merah dan meninggalkan Sistem Suria.Manakala dua syarikat ini telah menanda perjanjian untuk genjatan senjata dan menamatkan konflik mereka dengan tibanya pentadbiran baru Persekutuan Negara-Negara Bersatu.Pihak atasan dari Planet Tera telah mempersetujui perjanjian itu dan perjanjian itu dinamakan Perjanjian Hidrogen.Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu kemudian telah membangunkan dan menguji Bom Hidrogen generasi baru di lingkaran asteroid.Permukaan Planet Zuhal mengandungi pelbagai gas dan dikelilingi lingkaran ais yang amat penting bagi manusia untuk mendapatkan bekalan air untuk aktiviti kehidupan,penempatan,pertanian,industri serta perubatan.Planet Zuhal mempunyai 21 bulan.Perjanjian Hidrogen dimeterai dengan 6 bulan dimiliki oleh U.K.E.G dan 7 dimiliki Direktorat Pelombong manakala 9 bulan dimiliki oleh Persekutuan Negara-Negara Bersatu sebelum bertukar menjadi Empayar Suria.

Sektor:Planet Uranus
Lokasi:Sistem Suria

Planet Uranus dipenuhi dengan ais dan batu-batan yang keras.Banyak perlombongan mineral dan logam di sini.Ketika era Abad Keemasan Eksplorasi Manusia,Direktorat Pelombong telah membina beberapa penempatan berteknologi tinggi dan bandar-bandar penting di Planet Uranus.Ketika era Perang Saudara,Planet Uranus menerima tempias antara konflik dua kerajaan itu.Pengunaan Bom Hidrogen generasi baru oleh Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menyebabkan beberapa bandar dan penempatan musnah teruk.Persekutuan Koloni Tera akhirnya terpaksa menyerah kalah dengan berita kekalahan Persekutuan Koloni Tera di Planet Pluto.Direktorat Pelombong telah membina 15 Generator Atmosfera di permukaan Planet Uranus.Penduduk di sini mereka agak berbeza dari segi kehidupan kerana cuaca yang agak ekstrem dan sejuk.Penduduk di sini mempunyai semangat yang kental dan daya ketahanan yang tinggi serta mahir dengan teknologi kerana kebanyakan mereka dari keturunan pelombong yang telah menetap lama sebelum Abad Keemasan Eksplorasi Manusia.Kemahiran mereka dapat dilihat dengan keunikan dan campuran pelbagai inovasi teknologi perlombongan,robotik dan pembinaan kapal angkasa.Planet Uranus mempunyai 15 bulan.Selepas pengunduran Persekutuan Koloni Tera dari Planet Uranus,pentadbiran diambil alih oleh Persekutuan Bangsa-Bangsa Bersatu manakala Direktorat Pelombong diberi hak eksklusif untuk melombong mineral dan batu-batan sambil dikawal selia oleh pentadbiran baru.Selepas perang,Planet Uranus menjadi makmur dan dibina kembali bandar dan penempatan yang musnah dengan begitu cepat oleh orang Uranus dengan teknologi yang mereka miliki.Terdapat beberapa pengkalan rahsia tentera serta kilang-kilang rahsia di beberapa bulan Uranus dipercayai milik Empayar Suria pada Abad ke-5 Kosmik.

Sektor:Planet Neptun
Lokasi:Sistem Suria

Planet Neptun mempunyai sumber Gas Metana yang banyak,permukaan berbatu-batan dan sejuk serta berais.Konflik antara dua syarikat gergasi di Musytari dalam konflik di Planet Musytari serta Perang Saudara dua kerajaan turut merebak di Planet Neptun.Perang Saudara ini merebak di Sistem Suria yang berlanjutan di planet Marikh,Musytari,Zuhal,Neptun dan Pluto.

Sektor:Planet Pluto
Lokasi:Sistem Suria

Planet Pluto terletak di hujung Sistem Suria.Perang Saudara telah merebak ke serata Sistem Suria.Planet Pluto merupakan pertahanan terakhir Persekutuan Koloni Tera di Sistem Suria.Konflik ini berlanjutan lama sebelum Persekutuan Koloni Tera berundur dengan strategi bertahan dan undur.Konflik disini teramat dahsyat dan penggunaan senjata penusnah besar-besaran dan teknologi ketenteraan terbaru.Banyak bandar-bandar,penempatan koloni yang musnah.Beberapa koloni-koloni musnah teruk.Kilang-kilang industri milik U.K.E.G dan Direktorat Pelombong turut musnah.Pencaturan politik dan ketenteraan dua pihak menyebabkan ramai penduduk koloni-koloni Planet Pluto melarikan diri ke sistem lain.Kemusnahan beberapa Generator Atmosfera memburukkan keadaan di situ.

P/S:Kronologi ini ditulis berdasarkan Novel Perang 3 Empayar kerana Novel Komando bintang ini merupakan prekuel kepada Novel Perang 3 Empayar.

hakcipta SpartaBatKing117

2 comments:

Unknown said...

It's interesting.. Gaya penulisan yg penuh kreatif.

SpartaBatKing117 said...

Thanks for your support.Terima kasih kerana sudi membaca.:)